Tuesday, 28 June 2011

Tukar Kerja

Alhamdulillah, kita masih diberi nafas oleh-NYA untuk meneruskan kehidupan. Setiap pemberian daripada-NYA merupakan satu anugerah dan kita harus bersyukur sebagai tanda terima kasih kepada Yang Maha Esa.

Aku bukan ahli falsafah yang mampu memberi motivasi kepada mereka yang mengimpikan kejayaan, juga bukan ahli agama yang dapat meleburkan hati mereka yang keras dek budaya hidup zaman moden.

Aku cuma seorang lelaki yang telah hilang semangat dalam kerjaya. Kelakar bukan?

Aku sendiri tidak tahu apakah faktor yang membuatkan kemanisan bekerja itu hilang. Mungkin persekitaran tempat bekerja yang tidak menyeronokkan? Atau mungkin jiwa yang tidak tenteram? Terlalu banyak kemungkinan.


"Apa yang tak kena? Bosan dengan kerja?", ayat dari segelintir pembaca, mungkin. Setiap kali melangkah masuk pintu pejabat, jiwa aku kosong. Semangat bekerja itu tiba-tiba hilang!

Biarpun situasi sebegitu berterusan dari hari ke hari, namun kerja tetap kerja. Walaupun kadangkala terasa wujud ketidakikhlasan di hati dalam mengerjakan amanah, tapi apakan daya. Manusia tidak pernah sempurna.

Benak fikiran ini berkali-kali memutarkan soalan yang sama. "Apa kepentingan aku dalam organisasi ni?"
Ya, jika dilihat dari mata kasar tiada sebarang impak yang bertapak dalam organisasi ini. Jangankan selama-lamanya, sementara pun tidak mungkin.

Ramai orang BOLEH menuding jari kearah aku lalu melafazkan baris-baris ayat seperti "Sebab orang macam kau la kita tak boleh maju!", "Kalau tak menyusahkan orang lain, tak boleh ke?", "Memang aku datang ofis untuk buat kerja kau" dan lain-lain lagi.

Aku tidak pernah kesah orang lain lebih hebat daripada aku. Lebih rajin. Lebih kreatif. Lebih segala-galanya. Sekurang-kurangnya aku tidak pernah membangkang setiap apa idea yang mereka utarakan, setiap hukum-hakam baru yang mereka bahaskan. Aku turutkan. Sekalipun ianya tidak mengubah apa-apa, tetapi hanya memberi kegembiraan kepada mereka yang berjaya menguasai pendirian orang lain.

Kalau dulu aku boleh ketawa dalam bekerja, tapi kini tidak lagi. Kalau dulu aku suka bergurau ketika sedang bekerja, kini tidak lagi. Apa yang mereka nampak hanyalah gelak tawa dan gurauan yang sama tetapi ia lahir dari hati dan jiwa yang berpura-pura menikmati keseronokan bekerja.

Aku tidak membenci kerja. "Habis tu kenapa buat kerja lambat?". "Kenapa datang lambat?". "Kenapa tak perform?". Jawapan aku, "pernah tak korang dihidangkan KFC kegemaran korang, tapi bila disuapkan ke dalam mulut tiba-tiba KFC tu rasa tak best langsung?! Dan KFC tu korang tinggalkan begitu saja..."

Contoh lain "pernah tak korang nak jumpa orang yang tersayang tetapi ketika dalam perjalanan, perasaan teruja itu lenyap dan setibanya korang di tempat yang dijanjikan, hari yang sepatutnya bahagia tak seperti yang dijangka?"

Aku tak salahkan sesiapa. Mungkin ada hikmah disebalik situasi ini. Aku bersyukur kerana jika dibandingkan dengan masyarakat diluar sana, aku lebih bertuah. Ramai yang tidak bernasib baik, menganggur dan diberhentikan kerja.

Pada pandangan aku, golongan yang tidak berpuas hati lebih ramai daripada yang menghargai. Dan lebih menyedihkan, setiap bidang tugas yang dilaksanakan itu, lebih menjurus kepada terpaksa sedangkan ianya satu ibadah. Kenapa mesti aku teruskan, kalau keadaannya tidak menyenangkan?

p/s : Manusia tidak pernah sempurna, tetapi manusia jugalah yang menganggap dirinya itu sempurna.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...