Wednesday 26 December 2012

Bersyukurlah

Selamat pagi semua!

Al kisah, malam semalam aku lepak kafe siber. Sedang aku asyik mendownload movie, jam tangan aku berlagu menandakan dah pukul 12.00 tengah malam. Aku terus bangun, bergegas ke kaunter untuk bayar caj dan keluar mendapatkan motorsikal.

Sepanjang perjalanan pulang ke rumah, apa yang berlegar di fikiran aku ialah kehidupan. Terlalu banyak perkara yang aku fikirkan dan tanpa disedari aku singgah kat kedai mamak, Restoran Bintang Tujuh.

Mata aku meliar melihat sekeliling. Tidak ada seorang pun yang duduk berseorangan. Kesemuanya ditemani kawan, boyfirend/girlfriend. Ada juga yang berkeluarga. Hanya aku seorang saja yang duduk berseorangan ditemani helmet, jaket dan juga smartphone.

"Ane, minum kasi teh o ais. Makan..hurmm, maggi kari. Buat pedas-pedas."

"Ok bos!"

Jari jemari aku sibuk memicit-micit skrin Samsung Galaxy S. Satu persatu post dan status di Facebook aku baca. Kadang terdengar cerita gosip dan gelak tawa orang di sekeliling aku. Aku tak endahkan. Aku pekakkan telinga.

"Cha, maggi dah siap. Ini sudu garfu", tegur mamak sambil menghulurkan bekas garfu dan sudu.

"Ok bos. Tenkiu tenkiu"

Makan makan minum, makan makan minum. Sebaik saja aku menghabiskan maggi yang pekat tu, datang dua orang lelaki. Seorang tua dan seorang muda. Sebaya aku mungkin. Mereka berdua duduk di meja bertentangan aku. Siapakah mereka?

Daripada pandangan aku, lelaki tua itu ialah bapa kepada lelaki muda. Aku mengalihkan perhatian tepat kepada lelaki muda itu.

Aku amati rupa dan raut wajah lelaki muda itu. Ya, jelas sekali dia seorang Orang Kurang Upaya (OKU). Daripada pergerakan dan mimik muka, aku yakin dia menghidapi penyakit 'Sindrom Down'. Sesekali dia ketawa dan senyum melihat tayangan National Geographic di kaca TV. Dia terhibur.

Roti canai dan teh ais. Menu makan malam baginya. Dengan pantas dia menyedut straw untuk menikmati teh ais kegemarannya. Jelas kelihatan tangannya menggigil ketika dia memegang straw. Seperti aku dan orang lain, bekas garfu dan sudu juga dihulurkan kepadanya. Dengan perlahan dia mengambil garfu. Dia berusaha untuk mengoyak cebisan roti canai untukdisuapkan ke dalam mulutnya akan tetapi tangannya lemah.

Lalu garfu itu diletakkan diatas meja dan dengan menggunakan jari dia menyuap roti canai tersebut ke dalam mulutnya.

Aku hampir menitiskan air mata apabila dia senyum kepada aku. Situasi yang berlaku dalam beberapa minit itu membuatkan aku sedar betapa beruntungnya aku jika dibandingkan dia keadaan dia. Bermacam macam pertanyaan berlegar di fikiran aku.

"Bagaimana bapa dia membesarkan dia?"

"Apakah yang dia lalu sepanjang hidup dia?"

"Bagaimana dengan masa depan dia?"

"Adakah sekeping roti canai kosong cukup untuk mengenyangkan dia?

Sesekali aku mengalihkan pandangan aku daripadanya. Saat itu aku merenung jauh dan bertanya kepada diri aku,

"Kalaulah aku di tempat lelaki muda itu, sudah pasti aku cemburu melihat kesenangan dan keseronokan orang lain. Berpakaian cantik dan mahal. Ada rupa dan bergaya. Mewah dengan smartphone dan mempunyai ramai kawan dan teman"

Jam di tangan sudah menunjukkan pukul 1 pagi. Aku bingkas bangun untuk membayar dan terus pulang. 

Terdetik di dalam hati aku, rezeki Allah bukanlah untuk kita sahaja. Rezeki yang Allah berikan kepada kita, adalah untuk kita nikmati bersama. Aku sedih sebab selama aku hidup, jarang sekali aku bersedekah.

Di saat hati aku bersungguh-sungguh untuk menghulurkan sedikit wang kepada bapa lelaki muda tadi, hadir perasaan malu. Entah kenapa aku malu kalau-kalau kebaikan itu diperhatikan orang.

Betul kata orang : "Dunia akhir zaman. Manusia malu untuk berbuat kebaikan sebaliknya bangga berbuat kejahatan"

P/S : Rasa sangat menyesal sebab batalkan niat untuk bersedekah. (T___T)


Wednesday 12 December 2012

12.12.12


Selamat datang wahai 12.12.12!

"Hari ni 12/12/12, wish me luck! :)"

"12/12/12 - what do i get for today?"

"Selamat hari lahir Nida!" (besday ofismate aku yang ke-28, Nida) - tahniah! :D

"Diceritakan akan kedatangan Hari Kiamat pada 12.12.2012 dimana satu kajian telah dibuat oleh para saintis membuktikan bla bla bla bla..." - lepas tu ada post gambar bumi hancur, pokok tumbang, air laut naik tenggelamkan daratan dan sebagainya. Tak boleh blah.

Dan bermacam-macam lagi wish & post kat Facebook, Twitter, Instagram? yang berkaitan dengan tarikh hari ini - 12.12.12

Pasti ramai yang ingin mengabadikan tarikh hari ini sebagai tarikh keramat @ memori terindah. Sanggup menunggu untuk dijadikan tarikh pertunangan, tarikh pernikahan, tarikh persandingan (Rabu kot), tarikh perletakan jawatan, tarikh couple dan macam-macam lagi.

Satu lagi, apa-apa yang luar biasa berlaku hari ini pastinya diingati sampai bila-bila. So apa tunggu lagi?!

- kalau korang di alam percintaan, hari ni hari paling sesuai untuk korang clash.
- kalau korang tengah hamil, bersalinlah pada hari ini juga selewat-lewatnya jam 11.59 malam : boleh bangga dengan jiran tetangga korang deliver baby 12.12.12!

Tapi kalau diberi peluang, hari ni jugak aku nak menikah sebab kalau bini aku tanya, "Abang, kenapa nak menikah hari ni jugak?"

Jawapan aku : "Sayang, oleh kerana selepas hari ini tak akan ada 13.13.13, 14.14.14, 15.15.15 dan seterusnya..maka 12.12.12 adalah tarikh pertama dan terakhir saya menikahi wanita yang saya cintai"  :D

Ok bai!

Monday 22 October 2012

Bontot

Apakah perasaan anda bila bawak motor tapi tak ada plat nombor belakang?? Perasaan saya ialah rasa macam bawak motor TAK ADA BONTOT! (maaf guna caps lock. saya tengah emo)

Situasi tak ada bontot ni berterusan hampir seminggu lamanya. Bukanlah sebab malas nak pasang plat baru, tapi sekarang ni musim hujan petang. Bila nak balik kerja awal je hujan, bila hujan je nak balik kerja awal.

Sehinggalah tiba petang Rabu, hujan renyai-renyai. Memandangkan dah ramai budak ofis tegur pasal plat nombor, aku redah jugak la walaupun risau hujan turun lebat time on the way balik.




Gambar yang anda lihat ini ialah plat nombor baru motor saya.
Naaaaiiss (nice) tak??
Boring betul pakai plat standard je. Kali ni nak pakai yang haram lak walaupun tak berapa nak haram.

Nota : Perasan tak huruf tu macam pelik? Sebab tu sebenarnya M. Huruf W dah habis stok! (T__T)


Monday 8 October 2012

Family Day (Year 2)

In Bahasa, we called it "Hari Keluarga".

Why do we have Hari Keluarga? Is it same like the other occasion like Hari Raya or Hari Merdeka?

No. Totally no. Why no?

Because we do not have a public holiday on Hari Keluarga, but we always enjoy Hari Keluarga in holiday.

Kenapa pulak buat pada hari cuti? dan kenapa pulak entri ni ditulis dalam bahasa Inggeris?

Sukati aku la. Ni blog aku. Booooo ~

........

Ok. Cerita dia macam ni. Hari Sabtu lepas department aku buat Family Day buat kali kedua. Yang pertama dulu buat dekat Alamanda, Putrajaya. Main bowling & makan-makan kat Kenny Rogers. So kali ni diorang buat makan-makan & tinjau-meninjau kat KL Tower (Menara KL).

Paparan gambar ini hanya untuk bukan warganegara sebab diorang tak tahu macam mana rupa Menara KL ni.

Malangnya, aku tak dapat join atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Memang frust tak dapat join.

Tapi yang peliknya, pagi Sabtu tu aku bangun awal. 8 pagi tu kira awal kan? Dengan berbekalkan bantal peluk dan handphone, aku bukak TV channel 103 (maaf, channel ini hanya untuk mereka yang ada Astro je)

Dalam channel tu ada cerita "Gitu-gitu Apek". Siaran ulangan. Aku duduk depan TV ditemani TAM (kucing betina yang berperwatakan seperti jantan. Garang dowwh..)

Yang buat aku lagi frust & sakit hati bila aku tengok lokasi penggambaran Gitu-gitu Apek. Guess what??!!!

........

Lokasi : Menara KL.  (demyuh!)

Kuar lak scene makan-makan.

Last sekali scene Apek dengan Sharifah Shahira kat teropong menara KL tu. Main skodeng-skodeng sambil interbiu bini Ijoi.

Tanpa disedari, TAM yang asalnya seekor kucing telah bertukar menjadi seekor hamster kerana dihentak dan dipulas-pulas. Maaf, hiperbola melampau.

Aku terus mendapatkan henpon, lalu meng-whatsapp Nida dengan ucapan "Korang, have fun ye.. Huhuhu ~ "

Nida pun balas, "Sedih ko x join kitorang"

Lalu aku mendapatkan katil dan selimut untuk meredakan rasa sedih. Bajet macam sinetron Indon.


P/S : Family Day kali ni diorang ada buat tukar-tukar hadiah. Best kan?



Friday 5 October 2012

Terserempak dengan Shah

Pernah tak benda macam ni jadi kat korang?

Jangan jawab sekarang, sebab aku belum cerita apa-apa pun lagi.

Aku tak tau la kejadian hari ni satu suratan atau kebetulan. Apa-apa pun aku nak ucap selamat pengantin baru kat Shahriezul yang baru je mendirikan rumah tangga. Sorry bro, aku tak dapat datang kenduri sebab aku kena balik kampung.

Ok, back to the topic.

1)  Sampai ofis pagi tadi, aku terserempak dengan Shah dekat lobi. So, masuk lif sama-sama. Lepas tu, tekan butang R! Hohoho! Kitorang pergi tingkat 1, punch-in kad.

2)  Shah terus naik lepas dia punch-in. Aku pulak singgah toilet. Tempek-tempek bedak sikit, buat mulut muncung lepas tu snap gambar dari atas. Siap!! Dah wangi-wangi, rambut pun dah kemas. Aku pun naik atas.

3)  Tekan butang R lagi. Sampai tingkat 14 (floor aku), keluar je lif terserempak lagi dengan Shah.

4)  Macam biasa, turun pergi tingkat 8 untuk breakfast. Selesai je sarapan, dalam perjalanan nak naik atas aku terserempak lagi sekali dengan Shah. Dia baru turun nak sarapan jugak kot.

Aku pun buat kerja macam biasa. Kerja rajin-rajin. Rajin lagi dan lagi...

Pukul 10.00 aku masuk surau kejap. Muhasabah diri  Tidur.

5)  Tepat pukul 10.30, bangkit dari menginsafi diri  tidur, aku pun keluar dari surau. Sedang aku menuju ke lobi lif, Oh my englishhhh!! Terserempak lagi dengan Shah!!

Dengan serentak kitorang cakap "Asyik jumpa ko je hari ni..."

6)  Sedang aku nak masuk lif, (dah masuk pun sebenarnya) aku teringat yang aku tertinggal spek kat surau. So aku pun patah balik untuk mendapatkannya pun adoi.. on the way nak ke surau, guess what?
Sekali lagi aku terserempak dengan Shah! (yang tadinya menuju ke cafe, rupanya dia tak jadi dan dia pun nak naik ofis balik)

Aku gelak. Dia pun tergelak. Kitorang sama-sama gelak.

Bayangkan dalam masa 2 jam (8.30 - 10.30), boleh pulak terserempak dengan orang yang sama sampai 5 kali. So, berbalik kepada soalan tadi,


Pernah tak benda macam ni jadi kat korang?

Hu hu hu ~

Wassalam.











Tuesday 2 October 2012

Realiti Hidup

Masa aku belajar dulu-dulu, ada seorang pensyarah yang mengajar subjek akaun. Nama dia Pn. Noreha. Beliau merupakan salah seorang daripada dua orang pensyarah yang sayang kat aku.

Nampak tak? Betapa teruknya aku zaman belajar dulu. Dalam banyak-banyak pensyarah, dua orang je pensyarah yang sayang kat aku? Huuuuu ~

Ok. Cerita yang aku nak share sebenarnya pasal satu statement dari Pn. Noreha ni.

Ada satu masa tu, aku kena panggil dengan pensyarah (aku tak ingat sapa nama dia) jumpa dia kat bilik. Kes tak datang kuliah. Kebetulan waktu aku masuk dalam bilik dia, Pn.Noreha tu ada sekali. Berbincang pasal paper untuk kuiz kalau tak silap aku.

Dipendekkan cerita, aku kena marah. Marah, marah dan marahnya pensyarah tu kat aku. Aku diam je. Dah buat salah, takkan nak melawan pulak kan?

Selesai je sesi nasihat dan kaunseling merangkap luahan hati seorang pensyarah, Pn.Noreha pun menyampuk.

"Biasa lah puan. Budak Fitri ni bukannya tak pandai, tapi pandai dia kat bab benda lain."

Aku pun mintak maaf kat kedua-dua pensyarah tadi. (Kelas Pn.Noreha pun aku ponteng jugak kadang-kadang). Lalu keluar dari bilik dan terus menuju ke kolej untuk menikmati makan tengahari kat dining.

Sepanjang aku belajar dulu, aku langsung tak terfikir pasal statement dia. Tapi bila dah habis belajar, aku teringat dan aku pegang statement tu sampai bila-bila. Sebab apa??

Sebab,

Ada orang yang tak pandai dalam pelajaran, tapi pandai pada kemahiran.
Ada orang yang tak pandai dalam menguruskan kewangan, tapi pandai dalam mencari rezeki.
Ada orang yang tak pandai dalam pergaulan, tapi pandai dalam menguruskan diri sendiri.
Ada orang yang tak pandai dalam bidang kerjaya, tapi pandai dalam bidang sukan.
Ada orang yang tak pandai dalam memilih pasangan hidup, tapi pandai memberi nasihat kepada pasangan lain.

Contoh paling senang, kenapa ada orang yang hebat dalam subjek Matematik tapi gagal dalam subjek Sejarah?

Sebab dia selalu tidur dalam kelas Sejarah? Atau dia banyak guna orak kiri berbanding otak kanan? Atau cikgu Matematik sayang dia lebih?

Terlalu banyak alasan untuk direkacipta. Macam mana pulak mereka yang banyak main, masuk dalam kelas paling corot, tapi bila exam... surprise! Semua A!!?

Inilah realiti hidup. Setiap orang tu ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Walaupun ada pelajar yang dapat 20A sekalipun, belum tentu dia pandai memasak. Mungkin nak masukkan benang dalam jarum pun dia tak reti. Siapa tahu?

Sama jugak dalam situasi di tempat kerja.

Ada yang pandai buat kerja, tapi tak pandai memberi tunjuk ajar.
Ada yang pandai dalam mencari jalan penyelesaian, tapi lemah dalam berkomunikasi.

........

Kesimpulannya, jadilah diri sendiri. Carilah ilmu dan pengalaman hidup sebanyak mungkin.

Jangan putus asa kalau kita lemah atau gagal pada sesuatu perkara. Jangan sedih kalau orang lain lebih hebat daripada kita. Sebab ada banyak lagi perkara lain yang kita hebat dan belum tentu mereka semua tu hebat seperti kita.

P/S : Walaupun aku tak pandai pujuk perempuan, sekurang-kurangnya aku pandai buat mereka ketawa.

Kalau tak caye, gi tanya awek aku. Kbai!










Monday 1 October 2012

Maafkan Saya

Lama betul tak update blog.  T__T

Ok, here we go!

Sejak dua minggu lepas, masalah yang langsung tak dijangka datang dalam family aku. Kalau tak silap aku, dah lama masalah ni wujud cuma tak serius. So, baru-baru ni masalah jadi serius dan agak kritikal.

Dan perkara yang membuatkan masalah ni jadi lebih rumit adalah ianya berlaku di kampung. Aku dan family terpaksa berulang-alik dari rumah ke kampung hanya untuk menyelesaikan masalah yang sering berlaku tanpa diduga. Tak menentu.

Sehinggakan aku terpaksa apply Emergency Leave {EL) untuk beberapa hari. Yang sedihnya, masalah ni berlanjutan hampir dua minggu. Aku faham yang aku terikat dengan peraturan jabatan. Tapi aku bagaikan tiada pilihan lain.

Aku sedar, sepanjang ketiadaan aku di pejabat mendatangkan masalah kerja kepada ramai orang.  Aku dah menyusahkan rakan setugas, pegawai atasan, dan juga bos. Malah mungkin jauh di sudut hati mereka ada perasaan marah, benci atau tidak puas hati dengan kerenah aku.

Ya, aku mengaku aku salah.

Tapi apakan daya, selama ni kalau orang lain ditimpa masalah mungkin ada antara kita berfikir sebegini.

"Orang lain pun ada masalah, tapi boleh jugak datang ofis".
"Alasan la tu malas nak datang keje"

 Dan lebih bermasalah lagi bila tidak hadir ke pejabat untuk lebih daripada tiga hari.

"Ah, baik ko berhenti je. Menyusahkan orang!"
"Tak payah la campur adukkan kerja dengan peribadi. Tak profesional langsung!"

Sekarang barulah aku tahu. Hanya mereka yang merasai, melalui dan mengalami masalah keluarga yang serius je tahu apa kesan dan akibat disebaliknya.

Biarlah pengarah nampak yang aku ni seorang penjawat awam yang bermasalah. Biarlah pegawai atasan menilai prestasi aku teruk, dan biarlah rakan setugas aku yang sering mengambil alih kerja harian aku beranggapan yang aku bukanlah seorang rakan yang patut dijadikan sahabat.

Biarlah aku kehilangan segalanya, asalkan aku tidak kehilangan dua orang yang aku sayang. Ya, darah daging aku.

Kata orang : kerja, kawan, harta, semuanya boleh kita cari. Tapi keluarga, tidak sama sekali.

Aku takkan marah, kalau kawan-kawan aku membenci aku. Sebab aku yang menjadi punca mereka membenci aku.
Aku pun takkan marah bila pegawai menilai prestasi aku teruk. Sebab itu yang mereka nampak.

Maafkan saya kerana selama ini telah banyak menyusahkan dan juga membebankan banyak pihak.


Yang ikhlas,

HemoHemo.


Wednesday 13 June 2012

Aduhai Pakcik

Kisah yang akan diceritakan ini adalah kisah benar.

Pagi tu aku pergi ke bank. Selesai je urusan di bank, aku pun terus menuju ke lif menara. 3 minit, pintu lif bukak. Lif kosong. Wow! Tak ada penghuni! Aku pun melangkah masuk lif dengan penuh rasa bahagia. *buat muka puas*

Kenapa rasa bahagia bila dalam lif sorang-sorang?

Sebab time tu lah boleh buat macam-macam. Nak korek hidung pun takde siapa nak tegur. Apatah lagi yang nak ikut sama korek hidung. Malah nak picit jerawat pun boleh. Bahagia kan?

Tapi aku tak lah serakus itu.

Ok, sambung cerita. Aku tekan butang 14. Sampai tingkat 1, ada sorang pakcik masuk. Dia tekan butang 8. Lepas tu tekan pulak butang 9 sambil cakap kat aku "silap tingkat la pulak. nak pegi tingkat 9"

Aku tersenyum.

.....
 
Elok je sampai tingkat 8, kebetulan ada 4 orang masuk. Baru lepas makan agaknya.

"Ah, nak tangga je lah", dengan selamba pakcik tadi keluar. Aku nampak dia menghala ke tangga.

Yang masuk ramai-ramai tadi tekan butang 16. Dengan jelas butang 14 (floor aku) dengan 9 yang pakcik tu tekan menyala lagi. Lif tutup je semua pandang aku.

( Damn u pakcik berwajah selamba! Apa dosa ku kepada mu?? )

Bila sampai kat tingkat 9, dengan kelajuan cahaya aku tutup lif! "Sorry!", tak semena-mena aku mintak maaf seolah-olah aku yang bersalah.  T_____T

Diorang semua tu borak-borak sesama diorang. Buat tak tau aku mintak maaf. Damn la korang semua!

Dan akhirnya aku sampai kat tingkat 14 dengan selamat.

p/s : aku cuma tak faham kenapa pakcik tu nak naik tangga sedangkan lagi 1 tingkat je nak sampai tingkat 9?? Exercise ke?

Tuesday 12 June 2012

Puisi Sang Network

Semalam hidup ku diruntun gelisah
Dek network yang bermasalah
 Tanpa sedar ku rebah
Lena di pangkuan Cik Pah

Dari pagi ku termenung
Hingga ke petang bersambung
 Rupanya seseorang merenung
Melihat ku kejung

Petang itu ku terpandang
Kelibat Wan Fariq bertandang
Bersama Hasanah terus kebelakang
Me-repair network yang dah pincang

Lalu ku bangkit
Sebab Wan Fariq cakap 5 minit
Keyboard dan mouse ku picit-picit
Terbaik, dah ade internet!

Jam menunjukkan pukul empat
 Pantas ku kerah tulang empat kerat
Apa yang tinggal semua ku sebat
Janji kerja siap takde sape nak hambat

Bye, bye, bye, bye..
Seorang demi seorang melambai
Berlari pulang sambil mengilai
Aku jugak yang tersadai

Tunggu punya tunggu
Daripada tersipu dah mula menggaru
Pukul 5.30 dah berlalu
Apa lagi, gua blah dulu!

Monday 11 June 2012

Demam EURO 2012!



GOOOOOOLLLL!!

Ibu-ibu, bapak-bapak, abang-abang, adik-adik, bapok, pondan, nyah semua yang ada disini... aduh goyang yuuuhh!

Sorakan yang kuat diiringi dengan hentakan kaki terhasil sebaik saja pasukan pilihan mereka menjaringkan gol. Sorakan ini ternyata lebih hebat di kedai-kedai mamak berhampiran anda. 
MAMAK pun turut bersorak yang hanya bertujuan menarik perhatian pelanggan untuk minum di kedai mereka.

Apa yang menariknya ialah jadual perlawanan EURO yang begitu menggamit jiwa-jiwa para isteri, pasangan dan juga BOS! Bos wanita je la, kalau bos laki diorang tak kisah pun sebab diorang pun layan.



12.00 tengah malam & 2.45 pagi! 

Apekejadah semua niiii?

Akan tetapi waktu siaran macam ni dah lali bagi peminat bola/Euro tegar, mereka sanggup menghadapi apa jua rintangan dan halangan demi menonton pasukan pilihan mereka beraksi secara live!

Dan ketika ini lah ASTRO dihujani dengan panggilan-panggilan menguntungkan. Pelanggan ASTRO akan mula membeli channel sukan hasil desakan isteri-isteri yang tak mahu suami-suami mereka bermalam kat luar. Contoh terdekat bagi situasi macam ni ialah pengantin baru!

Kalau yang takde ASTRO kat rumah pulak, wadehell pukul 3-4 pagi duduk bersengkang mata dengan pencungkil gigi kat kedai mamak? Kena pulak esok kerja, terbaikk ahh!

Bos (wanita) yang mana sebelum ni baik hati & lemah lembut automatik jadi garang disebabkan suami kat rumah pun tengok bola sampai tak layan anak bini.

Mereka akan mula memarahi staf-staf mereka yang datang lewat ke pejabat dengan mata bengkak-bengkak, merah, hijau, kuning, oren ikut kaler jersi team yang lawan malam tadi.

Dan sememangnya majoriti yang jadi macam ni ialah kaum lelaki yang tampan.

....

Untuk EURO kali ni, aku pun ada team feveret. Ingat korang je ada? Aku pun nak tampan sama.

Team feveret aku sah-sah bukan HARIMAU MUDA.

Tapi ITALY dengan ENGLAND





GOOOOOOOOOLLLLLL!!!!





Friday 1 June 2012

Kursus "Etikuet" (Day 2)

Masuk hari kedua. Last day. Fasilitator merupakan seorang lelaki berbangsa Cina. Boleh tahan kelakar. Untuk hari kedua ni, aktiviti berkumpulan adalah lebih banyak berbanding hari pertama.

Dan yang pastinya - takde belajar mekap-mekap, takde alat kosmetik dan takde masa aku nak cerita panjang lebar kat sini. 


DAY 2 :


Pinjam laptop urusetia. Main poker kat Facebook.
(ni time tea break)


Kumpulan 3. Aku memang ditakdirkan bersama Orang Gila.


Fasilitator hari kedua. Dr. Alvin Teoh.

Gambar ni boleh mengelirukan pembaca, siapa fasilitator sebenarnya.
Ross (kiri sekali) atau Dr. Alvin?
 

Najwa Latiff!! Najwa Latiff!!

Azira - pembantu fasilitator. Dua hari dia kat MQA. Dua hari jugak dia kene himpit dengan Ross.

Ross bajet boleh masuk dalam carta hati dia kot.

p/s : Aku tak benarkan laki orang gambar berdua dengan anak dara orang. Ho ho horlicks!


Kursus "Etikuet" (Day 1)

Sape suka pegi kursus, sila angkat tangan!

Harammm..  peratus yang angkat tangan tu mesti 0.001% sebab bila sebut je pasal kursus, mindset diorang kat kursus ni tak lain tak bukan.. boring, buang masa & membazir.

Tapi kali ni aku berjaya membuang perasaan & pemikiran tipikal tu. AKU BERJAYA PERGI KURSUS SELAMA 2 HARI !!


SERVING PUBLIC BRILIANTLY - 
PROFESSIONAL INDENTITY & BUSINESS ETIQUETTE

Tak tahan baca tajuk kursus ni. Panjang gila! Aku cuma paham kursus ni cite pasal ape sebab ada perkataan "Etiquette"

4 kali dalam meeting aku kena bahan coz laporan kehadiran kursus aku kosong..     
kosong, kosong ong ~ (versi najwa latiff).

Biasa la keje kat gomen kursus kena mencapai 7 hari setiap tahun. Dah masuk bulan 5, aku tak masuk kursus mana-mana pun. Pengarah aku pun dah banyak kali remind suruh masuk je mana-mana kursus walaupun 2 jam.

Memandangkan aku dah mencapai 2 hari, meeting bulan depan aku nak berlagak dengan budak-budak bahagian aku. Aku dah potong diorang jauh. Coz ramai yang tak sampai 1 hari pun. 

Bagi mewujudkan rasa cemburu dan iri hati, dengan bongkaknya aku paparkan gambar-gambar berikut :

DAY 1 :


Terpaksa duduk sebelah Faiz a.k.a Orang Gila.



Jangan tiru aksi "18 SX" ini.







Tahukah anda faktor yang membuatkan kami tidak fokus dengan ceramah ialah KAMERA.



Spek mata urusetia dah jadi hak milik Faiz.


Ok. Ni gambar fasilitator kitorang.
Mrs. Emiliawati. Ex-stewardess tu ~


2 jam terakhir banyak cerita pasal kosmetik & penjagaan diri more to wanita.
So kitorang jejaka-jejaka tampan buat hal masing-masing.

Ada satu benda aku nak bagitau kat sini. Galaxy Tab Faiz TAK BEST!
Tab beliau hanya ada game Drag Racing dengan Angry Birds pelbagai version.

kbai.


Tuesday 22 May 2012

Audit dan Audit Lagi 2

HOOOYEAAHHH!!

YAAHOOOOOOOOO!!

Semua dah siap.

Berkat usaha, doa dan tawakkal serta kesungguhan yang dicurahkan (bersama Zura)..
masalah pengemaskinian baucar dan fail..
sudah tiada lagi!!

(iklan ini berbayar)

Jika anda ada sebarang masalah,
berada di tahap paling cemas,
dan boleh menjejaskan waktu tidur anda..

GUNAKANLAH ZURA TANPA WAS-WAS!


Terima kasih ZURA.

.
.
.
.
.

Rileks..rileks.. Zura ni opismate aku. Partner aku.
Memang tugas dia untuk tolong kerja aku.
Sebab bidang tugas kitorang sama. (hikhikhik gedik tak?)


Mane auditor nih?? Aku tak sabar nak kena audit ni.




Monday 21 May 2012

Audit dan Audit Lagi

Bila sebut pasal audit, tak kisah samada agensi kerajaan ke swasta ke mesti kelam kabut selama audit dijalankan. Kalau seminggu auditor tu stay, seminggu la nak mencari baucar/memunggah fail-fail.

Pada ketika ini, aku terfikir yang peniaga kedai runcit atau pasar malam, penjual stimbot lidi kegemaran aku mesti gembira sebab diorang tak pernah kena audit. Tak tau la pulak kalau bos diorang bayar auditor suruh buat audit jugak. Kalau ada, memang class gila kot!

2 minggu lepas, department aku baru je lepas kena audit kewangan. Fail-fail yang bersepah-sepah tu pun belum kemas. Apatah lagi disusun rapi. Dan dengan tiba-tiba,

Pagi tadi aku terima email dari bos yang berbunyi tak best macam ni :


" Salam.

Mohon semua baucar bayaran dikemaskini dan di fail dengan teratur.

Audit ISO akan bermula 23-25 mei 2012 (rabu – jumaat).

TQ "


OH MY ENGLISH! Macam mana nak filing? Audit kewangan baru je habis. Dah masuk audit ISO?? Fail kat atas lantai pun belum puas meniarap. Pelupusan pun baru 30% siap. On-going lagi tu. Belum kira baucar yang berkeping-keping keluar dari fail, cantik je membukit kat tepi rak tak masuk lagi dalam fail yang sepatutnya. 

Aku ada masa 2 hari je nak settlekan semuanya. Arghhhh! menyesal gila tak OT hari Sabtu lepas! Mana sempat nak siapkan semua dalam masa 2 hari. HELP ME!


NI YANG NAK BERGULING-GULING MACAM TENGGILING NIH !!


Friday 18 May 2012

Friday Blues

Satu fenomena baru telah ditemui. 'Friday Blues' kononnya macam 'Monday Blues' tapi sebenarnya tak sama pun.

Friday Blues merupakan hari Jumaat (hari ni) dimana masa yang berlalu teramat lah slowwwwww! Bukan aku sorang je yang rasa, budak-budak opis aku pun rasa perubahan ni.

Misteri fenomena ni still belum terjawab. Aku rasa lepas balik dari masjid kang, terjawab la kot. Bajet dapat petunjuk padahal sembahyang pun tak khusyuk muahahaha.. (korang ingat senang ke nak khusyuk?)

Baru aku tau, kenapa kawan aku tak nak buat overtime esok. Pasal lama sangat tunggu nak sampai hari Sabtu!

Kepada miss.afe.adne, tolong la overtime esok.. kalau kau datang esok, aku belanja roti canai Abadi sehelai dengan teh tarik kurang manis 1 liter.

p/s : banyak nye kerjaaaaaaaaaaa!!

Thursday 10 May 2012

Kasih Ibu

Aku hanya tau mak aku risau bila aku balik lambat sebab dia akan call handphone aku. "Alang kat mana tu?", "Balik rumah tak?". Dua soalan ni wajib ditanya dan mungkin diiringi beberapa soalan pilihan jawapan seperti "Alang makan kat mana?"

Pilihan jawapan :

a) Dah makan dah
b) Makan kat rumah
c) Makan kat luar
d) Tak makan dan dapat gastrik pada hari esok

Dari situ aku tau betapa seorang mak sangat sayangkan anak-anaknya walaupun dah besar dan matang.

Nak dijadikan cerita, suatu hari tu balik dari kerja. Hujan lebat gila! Berbekalkan baju hujan jenis murah aku sampai jugak kat rumah. Gantung jaket dan baju hujan kat buaian luar rumah. Helmet pulak aku letak atas meja luar. Selalunya aku letak dalam rumah parking kat tepi mangkuk kunci.

Aku masuk rumah, berlari dalam kebasahan macam dalam video-video karaoke, menuju ke bilik dan dengan pantas aku capai tuala mandi. Baju, seluar besar, seluar kecik semua aku campak dalam baldi.

Siram, gosok, berangan. Siram, gosok, berangan. - siap mandi!

10 minit lepas tu, masuk bilik menghadap PC sampai muntah. Download-main games-marathon movie.

Pukul 12 malam mak aku terjaga, terus bukak pintu bilik aku. KANTOI tak tido lagi!!

"Eh, ade dalam bilik rupanya. Mak ingat alang keluar tadi. Risau mak tengok helmet Alang takde"

"Helmet basah mak. Alang letak kat luar."

"Ok. Gi lah tido. Esok kerja kan..."

Mak aku berlalu pergi masuk bilik. Sambung tido agaknya.


nota entri : baru aku tau selama ni benda pertama mak aku tengok kalau terjaga tengah malam/pagi-pagi buta ialah HELMET. Sekarang ni kalau helmet basah, aku cari mak aku dan cakap "Mak, helmet alang letak kat luar tau..."

Tak.nak.buat.dia.risau.lagi.

Thursday 16 February 2012

Kisah Azrul

Kringgg... Kringg...

Aku : Hello, MQA.

Azrul : Hello, ini bahagian Akaun ke?

Aku : Ye, sini bahagian Akaun. (sebenarnya aku kat Unit Akaun, Bahagian Kewangan - lebih kurang je)

Azrul : Saya nak tanya, claim OT pra saya tak masuk lagi la.

Aku : Claim OT tak masuk lagi? Hmm, boleh saya tau dengan siapa saya bercakap? (aku tak tahu caller ni siapa)

Azrul : Oh, saya Azrul. Tu lah, saya punya claim OT tak masuk lagi. Tapi claim OT diorang yang lain-lain ni dah masuk dah. Encik boleh tolong check tak?. Betul kan ni bahagian Akaun?

Aku : Betul-betul. Sekejap ya? Hmmm.. (aku rasa takde staf MQA nama Azrul, tapi aku layan je kot-kot ade budak2 opis ni call nak kenakan aku)

Azrul : Hello?

Aku : Ya ya.. Encik Azrul dari mana ya? Sebab sini Agensi Kelayakan Malaysia, MQA.

Azrul : Eh? Ohhh ye ke..  Emm, kalau macam tu tak pe lah. Sorry ye.

Aku : *Bingung*  >_<

.....

Aku jadi bingung sebab Azrul confident tanya pasal claim dia. Kebetulan dia call department yang betul, Akaun Department. Yang jawab pulak aku, orang yang buat payment staf. Pening aku pikir siapa Azrul.

.....

Harap-harap Azrul dapat bercakap dengan person-in-charge yang sebenar-benarnya. Marilah kita bersama-sama doakan kejayaan Azrul. Aminnn.

Wednesday 15 February 2012

Tugasan

Well, ingat peserta Akademi Fantasia je ada tugasan?  Huh..

Tahun ni biro sukan MQA buat kejutan. TIGA acara sukan akan dijalankan dalam masa terdekat. Sukan apa?

Pertandingan Bowling, diikuti dengan Badminton dan Futsal. Terbaik.

Sebenarnya tugas aku ringan je, just cari player untuk mewakili kumpulan aku (Pasir Berdengung) dalam semua acara yang dipertandingkan nanti.

Yang jadi berat bila nak player tak cukup. Masalah akan timbul di saat aku perlu mengarang email demi email untuk mendapatkan player. Bukan sebab malas nak buat email, tapi nak menghasilkan email dengan kondisi ayat yang teratur yang mungkin memerlukan modifikasi berperingkat adalah menguji kesabaran.

Tapi nak buat macam mana, dah tanggungjawab sebagai seorang penyelaras kumpulan. (Baru penyelaras dah kecoh, belum jadi ketua keluarga lagi)

...


Tapi korang mesti tak tau, kalau makan nasi kandar time lunch dalam ofis yang ada aircon, 2 jam 15 minit lepas habis makan korang akan rasa mengantuk yang tak boleh ditahan-tahan. (maaf, lari topik)

Aku habis makan pukul 2 petang tadi. So sekarang waktu untuk aku tidur (boleh ke?)

Tuesday 14 February 2012

Koyak

Soalan : Apa yang koyak??

Jawapan : Jari.

Soalan : Jari boleh koyak ke?

Jawapan : Silap. Kulit jari.

Soalan : Macam mana boleh koyak?

Jawapan : Ok. macam ni ceritanya. Kelmarin aku ada training bowling kat Endah Parade. Macam biasa training 6 games. Selalunya takde pun kecedaraan yang berlaku sepanjang training. Tapi haritu, game yang terakhir, kulit jari aku koyak. Tak tahu lah kat mana silapnya.

Soalan : Oh, biasa lah tu. Kecederaan ada di mana-mana je. Lepas tu main macam mana?

Jawapan : Main macam biasa. Tahan je sakit tu. Sampai la Sabri bagi skin-patch untuk tutup koyak tu. Nasib baik ada skin-patch.

...

Pedih gila bila jari kena air. Lagi-lagi bila makan nasi guna tangan. Nasi panas-panas, kuah panas, tu belum lagi makan ikan bakar cicah air asam!  (Mak aku selalu buat ikan bakar dengan air asam kat rumah)

Jalan penyelesaian yang terbaik, sapu minyak gamat & stop main bowling selama 4 - 5 hari.

Sori geng, gua tak dapat join lu orang training minggu ni.  T___T

Friday 10 February 2012

Razer Dihatiku

Cuti minggu lepas (4 hari) sempena Maulidur Rasul dan Thaipusam dihabiskan dengan bermain DOTA kat pusat siber Orange, Danau Kota. Biasanya kitorang main dekat Infinity Setapak. Tapi malam tu tukar selera sebab Tedu (kawan aku) ajak friendly kat Orange.

Pertama kali sampai sana, perasaan memang teruja sebab ada pakej RM12.00 untuk 12 jam! Yang buat jadi lagi best bila Orange menyediakan mouse dan keyboard Razer!

Keyboard idaman aku selama ni bercirikan nipis (ala-ala keypad laptop) dan ada wrist-protector. Akhirnya jumpa kat Orange.

Seronoknyeeeahh! Jom belek-belek keyboard ni.

Razer Arctosa Gaming Keyboard - RM 169.00

Key yang nipis. Tak payah nak tekan kuat-kuat.

Media key - touch je.


Mouse pulak aku suka macam mouse biasa. Tak terlalu kecil, atau terlalu besar. Design tak pelik, berbonjol-bonjol, bersegi-segi atau yang sekutu dengannya. Aku suka yang simple, macam ni :

Razer Abyssus Gaming Mouse - RM 129.00

Design yang simple.

Mouse bersaiz standard macam mouse kat ofis korang.

Nak tengok design mouse Razzer yang macam-macam ada klik kat sini : Razer Gaming Mice

Actually produk Razer ni memang jadi pilihan kebanyakan gamers. Dulu aku pernah beli mouse Razer Lachesis. Lepas pakai, mouse tu tak best. Tak ngam dengan tangan. So aku jual kat kawan. Beli mouse baru, Razer Copperhead. Pun tak best. Last sekali aku guna mouse Logitech RM 20.00 tu je.

Tapi lepas jumpa Razer Abyssus ni, aku dah tak boleh tahan. Masuk je gaji bulan ni, aku nak runner gi Lowyat. Dah la mouse Logitech aku sekarang ni ada masalah right-click. Lagi berombak la dada aku nak beli Abyssus ni!

Perancangan yang sebenarnya, apa yang aku nak beli bukan benda alah ni tapi :
  1. Kerusi komputer - Sekarang pakai kerusi kayu yang kat meja makan tu. Sakit bontot!.
  2. Mouse Pad baru - Mouse pad dah patah & tak boleh lekat.
Tambah lagi 2 item la lepas ni. Kempis la wallet aku. Hai.. nafsu, nafsu..


.....

Thursday 2 February 2012

Kudap-kudap

Kebiasaanya, cekodok pisang atau pisang goreng panas disifatkan sebagai kudap-kudap di MQA selepas jam 10.00 pagi waktu Malaysia.

Tapi hari ni aku buat kelainan.

Aku beli gula-gula 'Sour +' (yang masam gila tu) keluaran Lot100 sebanyak 5 biji. Selalunya benda yang masam ni menyegarkan mata dan secara tak langsung dapat merubah wajah untuk tampil lebih muda.

Dan untuk menambahkan rasa comel pada hari ini, aku beli lolipop berjenama Big Top 2 batang.

...

Aifa : "Fitri, macam budak kecik la.."
Aku : "Hehehe..", tengah makan lolipop.

Yessss! Misi berjaya! Terbukti hari ni nampak muda dan comel !! ^__________^

Wednesday 1 February 2012

Hari Wilayah

Zrooooooooooooomm!!

Motor dipandu selaju-lajunya. Bukan sebab takut lambat masuk ofis, tapi sebab kereta tak banyak.

Maklumlah, hari ni kan cuti Hari Wilayah. Jalan KL lengang gila! Kereta pun macam segan-segan je nak ada kat atas jalanraya tuh.

Kalau aku yang bawak motor ni stim je bawak laju-laju dalam keadaan berbahaya, ini kan pulak kereta model Vios, Persona, Honda Civic malah Kancil yang selalunya stuck pagi-pagi buta dalam jem. Dah tentu diorang drive dengan laju sambil menghayati bait-bait lagu Ombak Rindu kat radio. Tangan pulak mengawal stereng secara bebas tanpa perlu menghentak butang hon.(Butang ke?)

Tapi aku rasa setakat jalan lengang belum cukup best. Sebab kalau nak lagi best, biarlah hari ni bukan setakat Hari Wilayah, tapi Hari Selangor gak. Baru best!! Nak nampak jalanraya pun tak sempat. Sebab syok tidur versi memuaskan nafsu semata-mata.  ^___^ Hehehe..

...

P/S : Cuti Hari Wilayah jatuh pada tarikh yang boleh-tahan-la-jugak-cantik.  Kan kan kan?  (1.2.12)

Tuesday 31 January 2012

Mengantuk?

Tip-tip untuk  menghilangkan mengantuk di pejabat :

• Makan gula-gula getah. Kunyahlah ia tanpa henti.

• Sepak bucu-bubu meja dengan kaki (Anda di nasihatkan buka kasut terlebih dahulu)

• Ambil sekeping kertas A4 tegakkan dan tarikkan ia di antara dua jari telunjuk dan tengah.

• Hina kawan sebelah anda secukup-cukupnya

• Sentiasa berlari pecut untuk kemana-mana sahaja di dalam pejabat itu (Pergi tandas, pergi ke meja kawan dsb)

• Cabut sehelai bulu hidung anda dengan lajunya.

• Jangan makan atau minum sepanjang hari (Makan pada waktu malam sahaja). Sebabnya orang selalu mengantuk selepas makan.

• Pesan pada penyambut tetamu pejabat anda supaya meng'interkom' anda setiap 5 min.

• Buat secawan kopi panas dan tumpahkan ia atas baju dan seluar anda. (Tumpahkan pada kawan pun boleh juga - lebih afdal)

• Ambil stapler dan staplekan cuping telinga anda atau telinga sesiapa sahaja yang berdekatan.

...

Mudah. Tiada risiko. Jaminan 100% berkesan.



Friday 27 January 2012

Duit Baru

Jeng Jejengggggg!!


Bwahahaha! Jakun dapat duit baru. Thankiu kat makcik Aji tingkat 8 sebab bagi duit baru, belen bayar nasik makan tengahari tadi.

p/s : Aku sanggup hutang seposen kat kedai air sebab tak nak bayar guna duit baru. Padahal ada 2 ketul duit 20 sen, tapi sayang nak bagi kat orang.


Kalau korang nak, pegi mintak kat makcik Aji! Jangan mintak kat aku! Bweeekkk!

Thursday 26 January 2012

Baju Batik

Tema pakaian untuk hari ini ialah baju batik. Kenapa lak kena pakai baju batik? Pasal aku keje gomen dan hari ni hari Khamis! Hoooyeeehhh!! (pura-pura seronok)

Apa itu baju batik? Baju batik sering dikaitkan dengan baju bercorak yang pelbagai seperti corak bunga mawar yang sedang berkembang, corak macam siling kat rumah orang kaya, macam kat pintu gerbang ada segi-segi, ataupun corak tali berjurai-jurai yang disambung-sambungkan. Malah corak bulat-bulat contohnya polkadot juga dianggap sebagai batik moden, kot?

Tak kisah la apa corak sekalipun, yang penting pagi tadi mak aku tegur sebab aku pakai baju batik yang sama setiap minggu. Lebih kurang 3 minggu aku pakai baju yang sama.

Mak aku pun menyatakan hasratnya untuk melihat aku mengenakan baju batik yang lain sebab dia dah jemu tengok baju ni (baju batik kaler merah/maroon).

Jadi, kepada emak yang tercinta, mulai minggu depan saya berjanji akan lebih rajin untuk tukar baju batik yang berbeza setiap minggu!

Kalau mak sendiri dah jemu, apatah lagi budak-budak ofis, makcik kantin tingkat 8 juga kakak-kakak cleaner. Tapi nak buat macam mana, kita dah ditakdirkan bekerja dalam satu bangunan yang sama. Ye dak?



p/s : kantoi dengan mak aku yang aku malas gosok baju. Ni yang nak kawen cepat-cepat ni, nanti ada orang tolong gosokkan baju secara percuma.

Tuesday 24 January 2012

Nugget

Suatu petang yang hening, aku tersedar dari tidur. Tengok kiri kanan, nampak abang aku tengah hadap komputer. "Oh, dah balik dah", bisik aku dalam hati.

(Sepanjang cuti raya cina family aku balik kampung, aku sorang je tak ikut)

Aku bangun tidur, mandi, sikat rambut bla bla bla.. siap! Duduk menghadap komputer bersedia untuk men-download movie.

"Alang, nugget. Ada kat depan ni". Abang aku jerit ajak makan nugget yang dia goreng.

Tanpa segan silu aku ambik seketul. Kunyah kunyah kunyah, telan.

Dahi aku berkerut. Rasa nugget tu memang pelik. Nugget ikan tapi rasa ayam?

Lidah aku yang tak pandai rasa makanan ke? Atau Ramly yang salah packing?

Konfiusssss..



p/s: Lepas ni kalau nak beli nugget ikan kena check packing dia kot. Mana tau kot-kot ada label 'Nugget ikan berperisa ayam'...

Monday 23 January 2012

Dua Kali

Pagi semalam aku ada bowling tournament kat e@curve, Damansara. Kalau nak ikutkan logik akal, memang pelik untuk tengok aku bangun seawal jam 7 pagi hari cuti. Tapi boling punye hal, aku tewas untuk bangun lambat.

Oleh sebab kalah, aku dengan awek beserta adik dia jalan-jalan kat Curve, Ikea mana-mana tah lagi. Aku pun tak reti sangat tempat-tempat area sana.

Dah puas berjalan (diorang puas la sebab dapat sebat baju dengan purse), lepak makan kat Kenny Rogers.

Balik tu penat. Aku pun tumpang penat walaupun bukan aku yang drive.

So kat belakang, aku tidur sepuas-puasnya.

Sampai rumah hantar adik dia balik, aku sambung tidur kat seat depan lak. Bahagianya.

Sambung jalan-jalan cari barang aku pulak. Dapat la sesah baju sehelai dua. Rezeki bangun tidur agaknya

Sementara nak balik, member aku Amin call. Ajak lepak.

Apa lagi, kasi tukar itu transport, daripada Myvi putih kepada Persona putih. Kalau namanya lepak dengan budak nama Amin, memang tak nampak tempat-tempat yang boleh mendatangkan pahala mahupun ketenangan jiwa.

Mula-mula makan kat KFC. Borak-borak pasal boling. Dengan tiba-tiba budak Amin ni naik 'sheikh'. Dengan pantas dia habiskan makanan, selamba memandu kereta menuju ke arah Wangsawalk Mall. Ajak main boling. Kena main boling SEKALI LAGI. Penat oii..

Lepas tu sambung hajat nak karaoke 2 minggu lepas. Masuk Superstar, sorang melalak, sorang dangdut. Dah tak macam budak lepasan universiti. Ada je mimik muka yang tak mengghairahkan dia buat.

Kepenatan menguji suara menghasilkan idea untuk lepak CC main Dota. Layan sampai pukul 6 pagi. Makcik-makcik dah sibuk nak ke pasar, kitorang pulak baru nak cari tempat merehatkan badan.

Apa lagi, tak perlu tilam. Tak perlu bantal. Hanya memerlukan parking lot kosong juga jaket sebagai selimut untuk tidur dalam kereta SEKALI LAGI.
 
Kadang-kadang aku terasa yang tidur dalam kereta lagi nyenyak berbanding tidur atas tilam. Tak kisah la kereta Myvi ke Persona ke yang penting kaler putih (kot).


.....dua kali membaling, dua kali tidur dalam kereta. Nikmat tak terkata.

Friday 20 January 2012

Sejuk

Bangun pagi macam biasa, lambat tapi sempat.

Gerak pergi ofis.

20 minit perjalanan, dari Highway Duke nampak langit PJ macam dah gelap.
Lepas 5 minit, hujan rintik-rintik.

Masuk je tol Kerinchi Link hujan pun turun.

Maka dengan itu aku speeding dengan harapan sempat sampai ofis dengan baju kering.

Hanya berbekalkan jaket nipis berjenama Wetra hadiah time menang pertandingan pingpong dulu, aku redah hujan. Masuk je jalan motor tepi Federal Highway hujan dah lebat.

Kalau stop tunggu hujan reda, confirm aku masuk lewat.

So, nak jaga rekod kedatangan punya pasal, aku cancel niat nak stop tepi.


Semua lampu merah aku langgar. Tak heran pun kalau ade orang hon. Sebab telinga sumbat dengan earphone. Dengar Hot FM topik pasal panggilan hangit. Amekaw!

Baju basah. Masuk ofis. 10 minit duduk dalam ofis, rasa macam kat Cameron Highland. Aku tahan lagi.

Masuk minit ke 30, serius macam kat Kutub Utara. Nasib baik aku ni kurus. Kalau gemuk sikit, aku bertukar jadi beruang kutub.

Menggigil. Nak taip ni pun, jari aku menggeletar. Parkinson pun tak macam ni weh! Sengallll

p/s : sape la yang in-charge air-con PKNS ni. Diorang tak tau ke yang kitorang ni bukannya reptilia?

Thursday 19 January 2012

Azam Tahun Baru 2012

Azam tahun baru. Asal masuk tahun baru je orang sibuk pasang azam. Kalau dalam TV, radio ke intebiu selebriti atau artis-artis murahan pun mesti keluar ayat "So, apa azam cik/encik/tuan/puan/dato/datin/tan sri tahun ni?"

Maka keluarlah ayat-ayat cliche. Biasalah, artis. Ewww..

Aku sendiri ada azam tapi selagi azam yang aku pasang tak tercapai, selagi tu lah aku takde azam baru. Beb, kalau azam yang lama pun tak tercapai kenapa mesti ada azam yang baru? Azam lama tu buat cekodok pisang ke?

Azam aku tahun ni sama je macam tahun-tahun yang lepas.

1) Nak ambik lesen kereta (azam 3 tahun lepas)
2) Kurangkan kedatangan lewat ke ofis. Maksimum 5 hari setahun. (Lalalala..)
3) Cari inisiatif lebatkan rambut (Dah kritikal sangat)
4) Jadi budak surau (InsyaAllah)

Azam baru :

1) Kumpul seberapa banyak duit atau pingat hasil main bowling.
2) Kawen!! (Sangat dituntut dalam Islam) <- padahal excited nak ada zuriat.

Kenapa syaitan suka hasut untuk tidur sebaik saja lepas makan KFC?

Ok. Im out. Bodo punye syaitannn!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...